Dalam pelajaran ini anda akan belajar:-

  • Apakah itu Microsoft Word
  • Apakah versi – versi Microsoft Word
  • Apakah kegunaan Microsoft Word
  • Apakah Matlamat, Kemahiran dan Hasil yang akan diperoleh daripada kursus ini

Pengenalan kepada Microsoft Word

Microsoft Word adalah salah satu komponen perisian Microsoft Office yang dikeluarkan oleh Microsoft Corporation, syarikat perisian terbesar di dunia yang berpusat di Amerika Syarikat.

Terdapat pelbagai versi perisian Microsoft Word yang digunakan. Versi – versi yang paling popular adalah Microsoft Word 2000, Microsoft Word 2002 (atau lebih dikenali Microsoft Word Xp), Microsoft Word 2003, 2007, 2010, 2013, 2016 dan 2019.

Kursus ini sesuai digunakan bersama versi Microsoft Word 2007, 2010, 2013, 2016 dan 2019.

Kegunaan Microsoft Word

kursus word jenis dokumen word

Microsoft Word adalah sejenis perisian pemproses perkataan atau word processor dalam bahasa Inggeris.

Perisian pemproses perkataan digunakan untuk membuat pelbagai jenis dokumen seperti surat, laporan, risalah, rencana, memo, manuskrip, dokumen guaman, faks, label, poster dan lain-lain.

Microsoft Word adalah perisian yang paling popular digunakan di seluruh dunia untuk membuat dokumen – dokumen ini.

Gambar di sebelah/atas menunjukkan antara dokumen yang boleh dihasilkan dengan Microsoft Word

Matlamat Kursus Ini

Pada akhir kursus ini, anda akan membuat dan mencetak satu dokumen seperti dalam rajah sebelah/atas. Dokumen ini akan menjadi dokumen projek anda bagi kursus ini.

Dokumen projek mengandungi semua kemahiran yang diperlukan bagi membuat pelbagai jenis dokumen lain seperti surat, laporan, resume, jadual, memo, manuskrip, faks, manual dan lain-lain.

Resume atau Curriculum Vitae (CV) adalah dokumen yang mengandungi keterangan peribadi seperti kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang sering disiapkan untuk permohonan jawatan kosong dalam sektor kerajaan dan swasta.

 

Kemahiran Kursus Ini

Tiga gambar slaid di bawah menunjukkan kemahiran – kemahiran yang berkaitan dalam penyediaan dokumen projek anda. Tekan butang anak panah <> untuk bergerak antara slaid.

Hasil Kursus Ini

Pada akhir kursus ini, anda juga akan diajar cara mempraktikkan semua kemahiran ini bagi menghasilkan pelbagai jenis dokumen lain seperti yang disebutkan. Jadi ayuh, mari kita mulakan.

Ujian Kursus

Pada penghujung hampir semua pelajaran, kami telah menyediakan ujian untuk menguji sejauh mana anda telah menguasai teori dan praktikal yang telah diajar dalam pelajaran tersebut.

Soalan – soalan dalam ujian tidak menumpu kepada sesuatu versi atau keluaran perisian Word tetapi lebih menguji kefahaman konsep penggunaan perisian tersebut.

Dalam ujian, anda mungkin dihidangkan dengan gambaran skrin perisian yang tidak pernah anda lihat. Ini disengajakan bagi menguji sama ada anda memahami konsep penggunaannya atau tidak.

Jadi ujian menjanjikan satu pengalaman yang mencabar. Ini sesuai dengan standard atau piawaian antarabangsa bagi topik kursus ini. Hal ini juga memenuhi kehendak ramai pelajar yang menginginkan soalan – soalan tahap tinggi dan mencabar.

Penutup

Dalam pelajaran ini anda telah belajar apakah itu Microsoft Word dan versi – versi perisian yang ada dalam pasaran. Anda juga sudah faham apakah sebenarnya yang akan anda belajar dari kursus ini. Berbekalkan pengetahuan ini anda sekarang sudah bersedia memulakan pengembaraan anda dengan Microsoft Word. Dengan itu teruskan sahaja ke pelajaran seterusnya.