Rows, Columns dan Cell Dalam Excel
Melihat sesuatu worksheet dalam Excel anda akan dengan mudah perasan ianya terdiri dari banyak baris – baris melintang dan lajur – lajur menegak seperti yang digambarkan. Baris dikenali sebagai rows sementara lajur dikenali sebagai columns.

Rows atau Baris dinombor bermula dari 1 di atas dan meningkat satu nombor demi satu nombor seperti 2, 3, 4 dan seterusnya ke bawah. Columns atau Lajur di labelkan bermula dari A di kiri dan meningkat satu abjad demi satu abjad seperti B, C, D dan seterusnya ke kanan.
Apabila satu baris bertemu dengan lajur, maka terbentuklah sel atau cell. Sel adalah petak segiempat tepat yang kelihatan memenuhi bahagian putih worksheet. Cell Excel adalah petak ke dalam mana anda akan memasukkan data. Cell Excel merupakan objek paling kecil yang boleh mengandungi data Excel. Tidak ada objek yang lebih kecil dari cell yang boleh memuatkan data di dalam aplikasi Excel.
Jenis Data Di Dalam Cell Excel
Cell atau sel adalah tempat di mana anda memasukkan data ke dalam Excel. Sesuatu cell di dalam Excel boleh mempunyai tiga jenis data:-
- Nombor. Nombor mempunyai nilai berangka. Contohnya: 23, 3.14, 7755985.256
- Teks. Data teks tidak mempunyai nilai berangka. Contoh data teks adalah seperti nama, tajuk dan lain - lain.
- Formula dan fungsi. Formula dan fungsi adalah persamaan matematik. Contohnya (2 + 2)
Cara Salah Memasukkan Data Ke Dalam Cell
Sesuatu cell di dalam Excel cuma boleh memuatkan satu jenis data sahaja. Anda tidak boleh gabungkan dua atau lebih jenis data ke dalam cell Excel. Gambar di bawah menunjukkan contoh – contoh kemasukkan data yang salah.

Data dari jenis yang berlainan dalam cell yang sama
Dalam gambar di atas, kita dalam lihat dua data (tajuk dan markah) di masukkan ke dalam cell yang sama. Cara ini adalah salah.
Selain dari itu, setiap cell di dalam Excel juga cuma boleh mengandungi satu data sahaja. Anda tidak boleh gabungkan dua atau lebih data ke dalam satu cell walaupun data – data itu adalah dari jenis yang sama. Sebagai contoh, katakan anda hendak memasukkan markah keputusan ujian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ke dalam cell Excel. Setiap satu data ini mesti menduduki cell yang berasingan. Lihat gambar – gambar di bawah untuk penerangan yang lebih jelas.

Data dari jenis yang sama dalam cell yang sama
Cara Betul Memasukkan Data Ke Dalam Cell
Cuma ada satu cara betul sahaja untuk memasukkan data ke dalam cell Excel. Caranya ialah setiap unit data haruslah dimasukkan ke dalam cell-nya yang berasingan. Unit data adalah kuantiti data yang paling kecil yang boleh diproses. Jadi tajuk B.Melayu adalah satu unit data. Begitu juga dengan tajuk B.Inggeris. Setiap markah keputusan juga merupakan satu unit data. Semua unit data ini mesti menduduki cell yang berasingan dan tidak boleh berkongsi cell. Ini sahajalah cara betul untuk memasukkan data ke dalam Excel. Tidak ada cara atau gabungan lain dan janganlah cuba mencari atau menciptanya sendiri. Lihat gambar di bawah untuk lebih jelas.

Cara memasukkan data ke dalam Excel yang betul
Alamat Cell Di Dalam Excel
Seperti yang anda dapat perhatikan, helaian atau worksheet Excel punyai banyak sel – sel segiempat tempat. Satu helaian Excel boleh punya jutaan cell. Setiap cell ini hanya boleh ada satu unit data dari satu jenis sahaja.
Apabila anda hendak memproses data (sebagai contoh, melakukan pengiraan) anda akan merujuk kepada sel – sel ini. Seringkali anda akan memproses data dari lebih dari satu sel (misalnya anda mungkin dengan mencari jumlah nilai – nilai dalam 3 sel). Oleh yang demikian, anda harus pelajari teknik bagaimana hendak merujuk kepada berbagai sel di dalam Excel.
Merujuk Kepada Satu Cell
Untuk merujuk kepada SATU cell dalam Excel, kita menggunakan sistem Alamat Cell atau Cell Address. Alamat cell diberikan dalam bentuk Label Lajur Sel diikuti dengan Nombor Baris Sel. Sebagai contoh B3 adalah sel di lajur B dan di baris ke tiga seperti di gambarkan di bawah.

Cell, alamat dan data sepertimana yang kelihatan dalam Excel versi komputer atau online.
Gambar di atas adalah dari Excel versi komputer. Kami sengaja menggunakan gambar dari komputer kerana Excel versi komputer memaparkan alamat cell. Excel versi mobile tidak memaparkan alamat cell. Mari kita hayati kandungan gambar satu per satu:-
- Angka 256: Ini merupakan data dalam sel Excel.
- Petak hitam di sekeliling nombor 256: Bingkai hitam di sekeliling sesuatu cell itu melambangkan cell tersebut adalah cell yang aktif – yakni cell yang sedang dikerjakan.
- Anak panah merah: Ini adalah lajur cell. Kita dapat lihat lajur cell aktif ialah B
- Anak panah hijau: Ini adalah baris cell. Baris cell yang aktif ialah 3
- Alamat Cell: Ini adalah gabungan Lajur dan Baris cell yang aktif. Dalam gambar di atas, alamat cell aktif ialah B3. Alamat cell tidak dipaparkan dalam Excel Mobile.
- Data cell: Ini memaparkan data yang terkandung dalam cell yang aktif. Ianya dipaparkan dalam semua versi Excel.
Kuiz
Lakukan kuiz di bawah bagi menguji pemahaman anda akan kandungan pelajaran ini. Apabila tamat menjawab soalan terakhir, tekan butang Finish untuk periksa jawapan anda. Jika anda gagal, anda boleh tekan butang Retry untuk ulang. Apabila anda lulus, WhatsApp gambar skrin keputusan ujian kepada pensyarah sebagai bukti. Pensyarah akan memaklumkan anda akan langkah seterusnya.