Dalam pelajaran yang lepas, kita telah pelajari teknik hendak mencipta formula bersyarat dengan menaip criteria terus ke dalam formula seperti di bawah:-

=SUMIFS(Table1[Sales Revenue],==>data yang hendak dijumlahkan

Table1[Month],”Feb”==> syarat pertama

Table1[Product], “Shirt white” ==> syarat kedua

Table1[Country], “UK”) ==> syarat ketiga yang ditaipkan terus.

Menaip criteria terus ke dalam formula boleh menjadikan sebarang laporan yang kita cipta lebih kemas dan professional kerana kita tidak perlu mencipta jadual untuk menyimpan data formula.

Dalam pelajaran ini kita akan pelajari teknik menaip criteria yang akan menjadikannya lebih berkuasa. Teknik ini menggunakan wildcards.

Apakah Wildcards?

Wildcards adalah satu siri simbol – simbol yang boleh kita gunakan dalam formula bagi mewakili jenis – jenis data yang berbeza. Di dalam Microsoft Excel, terdapat tiga jenis simbol Wildcard:-

  • *– simbol ini dipanggil asterisk
  • ?– simbol tanda tanya
  • ~– simbol ini dipanggil tilde

Mari kita pelajari apakah jenis – jenis data yang diwakili oleh simbol – simbol ini.

Simbol Wildcard Asterisk *

Simbol wildcard asterisk * mewakili sebarang jenis teks atau nombor tidak kira bilangannya. Mari kita ambil contoh kenyataan Table1[Product], “Shirt white”) dalam formula di atas. Jika kita gantikan Shirt white dengan Shirt* ianya akan membawa maksud berikut:-

  • Nama product MESTI bermula dengan teks Shirt
  • Selepas teks Shirt boleh ada SEBARANG BILANGANteks lain.

Antara contoh jawapan yang boleh dikembalikan oleh wildcard di atas adalah seperti:-

  • Shirt blue
  • Shirt green
  • Shirt red
  • Shirt

Kesemua jawapan di atas bermula dengan Shirt sepertimana yang diwakili oleh wildcard Shirt*.

Namun produk – produk berikut tidak akan dikembalikan kerana semuanya tidak bermula dengan Shirt:-

  • T-Shirt green = bermula dengan T
  • Office Shirt white = bermula dengan Office
  • White Shirt= bermula dengan White.

Adalah penting anda memahami penerangan dan contoh – contoh di atas untuk menggunakan wildcard dengan betul.

Contoh *teks

Jika kita sekarang tukarkan wildcard kepada *Shirt maknanya berubah kepada:-

  • Nama product BOLEH bermula dengan sebarang bilangan teks.
  • Nama product MESTI berakhir dengan Shirt.

Antara contoh jawapan yang boleh dikembalikan oleh wildcard di atas adalah seperti:-

  • Men’s Shirt
  • T-Shirt
  • Sports T-Shirt
  • Dress Shirt
  • Over Shirt
  • Office Shirt

 Kesemua jawapan di atas berakhir dengan Shirt sepertimana yang diwakili oleh wildcard *Shirt.

Namun produk – produk berikut tidak akan dikembalikan kerana semuanya tidak berakhir dengan Shirt:-

  • Shirt white= berakhir dengan white
  • Blue Shirt Overalls= berakhir dengan Overalls
  • Shirt pants= berakhir dengan pants.

Adalah penting anda memahami penerangan dan contoh – contoh di atas kerana anda akan diuji dalam kuiz nanti.

Contoh *teks*

Jika kita sekarang tukarkan wildcard kepada *Shirt* maknanya berubah kepada:-

  • Nama product BOLEH bermula dengan sebarang bilangan teks.
  • Nama product MESTI mengandungi teks Shirt.
  • Nama product BOLEH berakhir dengan sebarang bilangan teks.

Antara contoh jawapan yang boleh dikembalikan oleh wildcard di atas adalah seperti:-

  • Men’s Shirt Large
  • T-Shirt
  • Shirt
  • Dress Shirt Blue
  • Over Shirt
  • Shirt White

 Kesemua jawapan di atas mengandungi teks Shirt sepertimana yang diwakili oleh wildcard *Shirt*. Ingat bahawa simbol * boleh mewakili sebarang data – ini termasuk juga data yang kosong atau tiada data. Sebab itu Shirt masih menjadi jawapan walaupun tidak ada sebarang teks di hadapan atau selepas teks Shirt.

Namun produk – produk berikut tidak akan dikembalikan kerana semuanya tidak mengandungi teks Shirt:-

  • Pants white
  • Mini skirt
  • Rain coat 

Penutup

Dalam pelajaran ini anda diperkenalkan kepada konsep wildcard dalam Excel. Wildcard boleh digunakan bersama sebarang jenis formula dalam Excel. Wildcard akan menjadikan formula anda lebih berkuasa kerana ianya boleh memproses data yang lebih fleksibel berbanding formula biasa yang cuma memproses data tetap sahaja.

Wildcard bukan sahaja digunakan di dalam Excel, bahkan boleh digunakan di dalam semua perisian Microsoft Office dan hampir semua perisian – perisian lain.

Tugasan

Sebagai tugasan bagi pelajaran ini, sila jalani kuiz di bawah bagi menguji kefahaman anda berkenaan penggunaan wildcard asterisk *. Jawab semua soalan kuiz. Kuiz ini tidak mempunyai butang Check. Perkara ini disengajakan untuk memberikan anda cabaran dan mengesan tahap pemahaman anda yang sebenar. Jika anda tidak puas hati dengan keputusan kuiz, anda boleh ulanginya dengan tekan butang Retry. Akhir sekali WhatsApp gambar keputusan kuiz kepada pensyarah anda.