Formula Matematik Manual

Formula dengan alamat table seperti yang dipelajari dalam pelajaran yang lepas boleh dikuasakan lagi dengan menambah fungsi matematik. Antara empat fungsi matematik yang kerap di gunakan ialah seperti berikut:-

  1. Campur: digunakan dengan simbol +. Contohnya A1+B3 akan menjumlahkan dua nilai dalam cell A1 dan B3
  2. Tolak: digunakan dengan simbol . Contohnya E6-F8 akan menolak nilai F8 dari nilai E6
  3. Darab: digunakan dengan simbol *. Contohnya G20*H2 akan mendarab dua nilai dalam cell G20 dan H2.
  4. Bahagi: digunakan dengan simbol /. Contohnya K10/L9 akan membahagikan nilai dalam cell K10 dengan nilai cell L9.

Tugasan #1

Sebelum kita teruskan dengan pelajaran ini, anda perlu mencipta satu Excel Table baru seperti yang digambarkan di bawah.

pel-19-01-tugasan-1
Siapkan Excel Table seperti di atas untuk digunakan dalam pelajaran ini.

Arahannya:-

  1. Cipta worksheet baru dalam fail Excel anda. Rujuk Pelajaran 7
  2. Namakan worksheet baru ini ROI. Rujuk Pelajaran 7
  3. Cipta jadual dengan data seperti di atas.
  4. Tukar jadual kepada Excel Table. Rujuk Pelajaran 13
  5. Format semua cell dalam lajur Ad Sales, Affiliate Sales, Ops Cost, Ads Cost dan Profit kepada jenis mata wang dengan mata wang Ringgit Malaysia (RM). Anda boleh rujuk Pelajaran 11.

Penerangan

Jadual di atas melambangkan status kewangan satu perniagaan online yang melakukan kerja – kerja promosi menerusi pengiklanan dan juga sistem Affiliate. Lajur Ops Cost adalah kos operasi sementara lajur Ads Cost adalah Kos Pengiklanan. Tidak ada kos bagi Affiliate kerana ianya tidak ditanggung oleh perniagaan.

Matlamat kita adalah untuk mencipta formula bagi tiga lajur berikut:-

  1. Profit: atau keuntungan.
  2. Profit ROI: ROI bermaksud Return On Investment dan adalah nisbah yang melambangkan keberkesanan sesuatu pelaburan itu. 
  3. Ads ROI: Nilai ROI yang tidak mengambil kira penjualan dari sistem Affiliate.

 

Anda tidak perlu khuatir jika anda tidak biasa atau tidak tahu formula untuk melakukan pengiraan di atas. Kami akan jelaskannya kepada anda nanti. Cuma pastikan anda telah menyiapkan Excel Table ikut arahan di atas sebelum anda teruskan.

Formula Matematik 1 : Sales

Formula matematik pertama yang akan kita bina adalah menggunakan fungsi campur atau jumlah. Kita akan mencampur semua nilai jualan dan memasukkannya ke dalam lajur Profit

Setiap formula matematik dalam Excel harus dimulakan dengan simbol =. Simbol = ini memberitahu Excel bahawa data dalam cell berkenaan harus diperoleh menerusi pengiraan matematik. Ikuti langkah – langkah dalam animasi di bawah untuk mencipta formula matematik pertama anda.

pegang alatan mobile secara melintang
Penting:

Sebelum anda teruskan, kami nasihatkan anda supaya memegang alatan mobile anda secara melintang. Ini kerana animasi dan grafik dalam pelajaran ini adalah melintang dan memegang alatan mobile secara menegak akan mengecilkan saiznya dan membuatkan anda susah untuk lihat.

excel formula addition
Formula Matematik Campur

Arahannya:-

  1. Tekan dalam cell pertama lajur Profit sebanyak dua kali perlahan - lahan.
  2. Tekan Edit pada bar terapung.
  3. Cell akan dibuka untuk menerima data. Taipkan simbol =
  4. Tekan cell pertama lajur Ad Sales. Perhatikan bar formula sekarang mengandungi =[@[Ad Sales]]
  5. Taipkan simbol +. Perhatikan bar formula sekarang mengandungi =[@[Ad Sales]]+
  6. Tekan cell pertama lajur Affiliate Sales. Perhatikan bar formula sekarang mengandungi =[@[Ad Sales]]+[@[Affiliate Sales]]
  7. Tekan tanda hijau betul.

Formula yang kita hasilkan itu adalah =[@[Ad Sales]]+[@[Affiliate Sales]]. Formula ini cuma mencampurkan jumlah cell dari lajur Ad Sales dengan Affiliate Sales. Formula ini tidak mengira keuntungan lagi. Kami sengaja mengajar formula ringkas ini supaya anda faham konsep mencipta formula matematik dalam Excel. Dalam bahagian seterusnya kita akan edit formula ini dan memperbetulkannya.

Formula Matematik 2 Profit

Formula matematik pertama yang akan kita bina di atas tidak betul kerana ianya hanya mendapatkan jumlah pendapatan dari Ad Sales dan Affiliate Sales sahaja. Untuk benar – benar mendapatkan keuntungan, kita perlu menolak kos perniagaan tersebut juga. Perniagaan ini ada dua jenis kos iaitu Ops Cost (kos operasi) dan Ads Cost (kos pengiklanan). Kos operasi melibatkan semua belanja dalam menjalankan perniagaan yang diambil kira oleh si peniaga. Kos pengiklanan pula adalah kos khusus dalam mempromosi perniagaan secara online dan offline.

Jadi formula yang betul untuk keuntungan ialah:-

Profit = [Ad Sales] + [Affiliate Sales] – [Ops Cost] – [Ads Cost]

Di dalam Excel kita menggunakan kurungan [] bagi merangkumi nama lajur yang terdiri lebih dari satu perkataan. Jika cuma ada satu perkataan (seperti Profit) kita tidak perlu gunakan kurungan.

Lakukan langkah – langkah dalam animasi di bawah bagi mempelajari teknik untuk edit formula lama dan memperbetulkannya dengan fungsi matematik tambahan.

Jangan lupa tonton animasi di bawah dalam orientasi melintang.

excel formula addition substraction
Formula Matematik Tolak

Arahannya:-

  1. Tekan dalam cell pertama lajur Profit sebanyak dua kali perlahan - lahan.
  2. Tekan Edit pada bar terapung.
  3. Cell akan dibuka untuk menerima data.
  4. Taipkan simbol -. Perhatikan bar formula sekarang mengandungi =[@[Ad Sales]]+[@[Affiliate Sales]]-
  5. Tekan cell pertama lajur Ops Cost. Perhatikan bar formula sekarang mengandungi =[@[Ad Sales]]+[@[Affiliate Sales]]-[@[Ops Cost]].
  6. Taipkan simbol -. Perhatikan bar formula sekarang mengandungi =[@[Ad Sales]]+[@[Affiliate Sales]]-[@[Ops Cost]]-.
  7. Tekan cell pertama lajur Ads Cost. Perhatikan bar formula sekarang mengandungi =[@[Ad Sales]]+[@[Affiliate Sales]]-[@[Ops Cost]]-[@[Ads Cost]].
  8. Tekan butang hijau betul

Penutup

Dalam pelajaran ini anda telah buat pertama kalinya mencipta formula tanpa bergantung kepada fungsi formula Excel. Formula manual yang anda bina dalam pelajaran ini menggunakan dua fungsi matematik iaitu campur dan tolak. Dalam pelajaran – pelajaran akan datang, anda akan kembangkan kemahiran formula manual dengan menambah lebih banyak fungsi matematik untuk menghasilkan formula yang lebih kompleks dan berkuasa.

Tugasan #2

Sebagai tugasan penamat pelajaran, sila  WhatsApp gambar Excel Table anda kepada pensyarah untuk diperiksa.

pel-19-01-tugasan-2
Tugasan 2

Rupa Excel Table selepas anda selesai tugasan. WhatsApp gambar Excel Table anda.