Formula Dengan Alamat Table

Dalam pelajaran lepas kita telah pelajari kaedah memasukkan formula manual di bahagian bawah Excel Table. Selain dari meletakkan formula di luar Excel Table, satu lagi lokasi yang kerap mengandungi formula ialah lajur di dalam Excel Table itu sendiri. Formula yang dicipta di dalam Excel Table akan secara automatik menggunakan rujukan Excel Table dan bukan rujukan alamat cell seperti yang kita lihat sebelum ini.

Mencipta Formula Dalam Excel Table

Lakukan langkah – langkah di dalam animasi di bawah bagi mencipta formula di dalam lajur Excel Table anda. Kita akan mencipta satu lajur baru bernama Purata dan memasukkan formula di dalam cell pertamanya.

Apabila anda cipta lajur baru, Excel akan secara automatik memperkembangkan saiz Excel Table anda untuk merangkumi lajur baru tersebut. Setelah formula siap, Excel akan secara automatik menyalin formula ke semua cell dalam lajur berkenaan. Formula yang disalin secara automatik oleh Excel ini akan mempunyai rujukan cell yang dikemaskinikan dengan betul.

pel-18-01-excel-row-average-formula
Formula Dalam Excel Table

Langkah - langkahnya:-

  1. Tekan pada cell D1 sebanyak dua kali dengan perlahan
  2. Taipkan Purata dan tekan butang hijau betul.
  3. Tekan pada cell D2 sebanyak dua kali dengan perlahan.
  4. Tekan Home > Formula > AutoSum > Average.
  5. Tekan butang hijau betul.

Sekarang cuba anda tekan di mana – mana cell yang mengandungi formula baru yang anda cipta itu. Kemudian rujuk pada bar formula di bahagian atas skrin Excel. Anda akan dapati ianya tertera

=AVERAGE(Table1[@[B. Inggeris]:[B. Melayu]]).

Jika kita “alih bahasakan” formula ini ke dalam bahasa manusia, ianya berbunyi

Kira purata dari Table1 dengan mengambil semua data dalam baris di lajur B.Inggeris hingga ke lajur B.Melayu”.

Jika anda periksa semua cell anda akan dapati formulanya adalah 100% sama. Excel secara automatik memahami data yang harus dikira adalah dari dari baris yang sama dengan baris di mana cell itu berada.

Simbol kolon (:) di dalam formula itu bermaksud hingga. Perkara ini penting diingati apabila kita edit formula dalam bahagian seterusnya.

Tugasan 1

Menggunakan teknik yang anda pelajari di dalam animasi di atas, cipta lajur baru dengan formula Maximum. Bagi mencabar anda, kami tidak akan berikan sebarang animasi namun anda boleh rujuk langkah – langkahnya seperti di bawah.

Tugasan 1

Langkah - langkahnya:-

  1. Tekan pada cell E1 sebanyak dua kali dengan perlahan
  2. Taipkan Max dan tekan butang hijau betul.
  3. Tekan pada cell E2 sebanyak dua kali dengan perlahan.
  4. Tekan Home > Formula > AutoSum > Max.
  5. Tekan butang hijau betul.

Formula yang dicipta dengan kaedah di atas sebenarnya tidak betul ini kerana ianya tidak merujuk cell – cell yang betul. Kemahiran seterusnya ialah mempelajari bagaimana hendak edit formula dan memperbetulkannya.

Ralat Dalam Formula

Formula Max yang anda cipta di atas itu tidak betul. Seterusnya kita akan lihat ralat pada formula berkenaan dan bagaimana hendak memperbetulkannya dengan edit formula tersebut.

pel-18-03-excel-row-max-formula-error
Ralat Dalam Rujukan Cell Formula

Langkah pertama adalah untuk mengkaji formula baru kita ini. Tekan di dalam mana - mana cell yang mengandungi formula Maximum anda. Perhatikan bar formula. Tekan butang v untuk membuka bar formula supaya formula kelihatan dengan lengkap.

Perhatikan bagaimana formula ini merujuk data cell dari lajur B.Inggeris ke lajur Purata. Ini adalah tidak betul. Kita tidak mahu formula ini mengambil kira data dari lajur Purata kerana itu bukannya mata pelajaran yang diambil oleh murid.

Perbetulkan Ralat

Formula yang betul sepatutnya hanya mengambil data dari lajur B.Inggeris hingga ke lajur B.Melayu sahaja. Jadi kita perlu betulkan rujukan lajur Purata dalam formula dan gantikannya dengan rujukan lajur B.Melayu seperti di gambarkan di atas.

Membetulkan Ralat Formula

Ikuti langkah – langkah dalam animasi di bawah untuk membetulkan formula anda.

Membetulkan Ralat Formula

Langkah - langkahnya:-

  1. Tekan pada cell E2
  2. Tekan anak panah ke bawah (v) pada bar formula Excel
  3. Tekan pada rujukan Purata. Formula Excel akan digelapkan.
  4. Tekan pada rujukan Purata sekali lagi.
  5. Tekan Edit. Formula Excel akan dibuka untuk di edit.
  6. Gerakkan penunjuk ke penghujung perkataan Purata.
  7. Padamkan perkataan Purata.
  8. Taipkan perkataan B.Melayu. Perhatikan rujukan ini tidak betul.
  9. Tekan di antara tanda titik (.) dan perkataan Melayu.
  10. Tambahkan ruang kosong. Excel memaparkan rujukan - rujukan cell dalam Table. Sekarang formula adalah betul.
  11. Tekan butang hijau betul.
  12. Periksa formula di cell lain - semuanya adalah betul.

Sila ambil perhatian bahawa rujukan yang anda taip itu hanya betul sekiranya ianya dipaparkan sebagai petak biru dalam Table oleh Excel. Jika tidak ada paparan, sila periksa semula apa yang anda taipkan.

Penutup

Dalam pelajaran ini anda telah kuasai teknik hendak mencipta formula dalam lajur Excel Table. Lajur baru yang dicipta itu secara automatiknya menjadi sebahagian dari Excel Table dan anda boleh menggunakan semua fungsi analisa data yang telah anda pelajari sebelum ini seperti Filter & Sort.

Dalam pelajaran seterusnya kita akan melihat bagaimana hendak mencipta formula yang lebih berkuasa lagi.

Tugasan 2

Sebagai tugasan penamat pelajaran, sila cipta satu lajur baru di sebelah kanan lajur Max yang memaparkan markah terendah setiap murid seperti yang digambarkan di bawah. Setelah selesai tugasan ini, sila WhatsApp fail Excel anda kepada pensyarah untuk diperiksa.

pel-18-05-tugasan
Tugasan 2

Rupa Excel Table selepas anda selesai tugasan. Hantar fail Excel kepada pensyarah. Jangan hantar gambar sahaja