imageSoalan dari salah seorang pelajar berbunyi:-
“Dalam sistem operasi Windows, ia didatangkan dengan aplikasi pembersihan ruang simpanan atau disk cleanup tool yang membantu membuang fail-fail tidak diperlukan. Soalan saya ialah apa yang dimaksudkan dengan disk cleanup tool dan disk defragmenter.Jika kedua-dua setting ini digunakan ia boleh mengekalkan prestasi komputer supaya tidak menjadi lembab.Saya nak tahu,wajarkah saya menggunakannya dan bagaimanakah cara serta setting yang perlu dibuat? Adakah perlu dibuat kerap kali?”

Jawapannya ialah:-

Disk Cleanup Tool dan Disk Defragmenter adalah dua perisian asas penjagaan komputer yang boleh didapati dalam sebarang sistem Windows 9x dan ke atas.

Disk Cleanup Tool berfungsi membersihkan komputer dari saki – baki fail – fail sementara yang tidak diperlukan. Fail – fail sementara (temporary files) ini sering dijana oleh perisian – perisian termasuklah Internet browser anda. Membersihkan komputer dari fail – fail sementara ini boleh membebeaskan ruang cakera keras untuk kegunaan lain.

Disk Defragmenter pula berfungsi menyusun-atur fail – fail di cakera dalam susunan kemas agar setiap fail menduduki satu siri sektor – sektor yang berterusan. Sektor cakera adalah pembahagian paling kecil pada cakera yang boleh dimuatkan dengan maklumat. Dengan penggunaan yang berterusan banyak fail – fail di cakera boleh menjadi “berserpihan” atau fragmented. Ini bermakna satu fail didapati di beberapa sektor – sektor yang berjauhan. Perkara ini boleh memperlahankan komputer kerana cakera terpaksa bekerja lebih untuk membaca sesuatu fail. Disk Defragmenter menyusun-atur fail supaya masa membaca dan menulis fail – fail cakera boleh dikurangkan. Disk Defragmenter hanya harus dijalankan selepas pemeriksaan terhadap statusfragmentation (penyerpihan) fail dilakukan. Hanya apabila fragmentation sampai ke peringkat 10% atau lebih barulah fungsi Disk Defragmenter ini dijalankan.

Kotak Dialog Disk Properties
Kotak Dialog Disk Properties – Klik Untuk Besarkan

Kedua – dua fungsi Disk Cleanup Tool dan Disk Defragmenter boleh diakses melalui (My) Computer dengan right-click cakera berkenaan dan pilih fungsi Properties. Pada tab General adalah butang Disk Cleanup dan pada tab Tools adalah butang fungsi Disk Defragmenter.

Fungsi Disk Cleanup boleh dijalankan seminggu sekali dan fungsi Disk Defragmenter boleh dijalankan sebulan sekali.

Harus ditekankan bahawa Disk Cleanup dan Disk Defragmenter tidak boleh memperbaiki masalah komputer. Jika komputer anda lembab atau selalu tergantung operasi (hang), ianya adalah petanda kepada masalah lebih besar. Masalah ini sering berpunca dari fail – fail sistem Windows yang sudah dikompromi oleh perisian lain. Antara perisian yang paling kerap menganggu fail – fail Windows adalah spyware dan virus. Oleh itu mengambil langkah penyegahan dan pembasmian seperti yang diterangkan di dalam Kursus Pembasmian Virus dan Spyware COMPU Studies adalah jauh lebih berkesan bagi menyelesaikan masalah komputer dari menjalankan fungsi Disk Cleanup Tool dan Disk Defragmenter.