Memahami Apakah Itu History, Cookies dan Cache

Anda mungkin pernah mendengan istilah History, Cookies dan Cache namun tidak begitu jelas akan apakah yang dilakukan oleh tiga “benda” ini. Rencana ini melaraikan misteri di sebalik salah satu teknologi yang paling mengelirukan pengguna.

Tahukan anda bahawa setiap kali anda membuka Internet dan melayari laman web, tanpa anda sedarkan komputer anda sedang merekodkan segala aktiviti anda.

Ini termasuklah laman web yang anda kunjungi, gambar dan video yang anda tonton, maklumat yang anda isikan ke dalam borang – borang online – termasuklah username dan password bagi setiap jenis perkhidmatan Internet yang anda gunakan? Jika ini sudah mula membuat anda runsing – perasaan anda tidak salah.

Ini bukannya mitos dari cerita rekaan sains. Ia adalah kenyataan. Ia juga tidak disebabkan oleh jangkitan virus mahupun spyware. Ia dilakukan secara lazim oleh setiap jenis perisian browser yang anda gunakan.

Perisian Browser Internet

Browser Paling Popular
Browser Paling Popular

Perisian browser adalah perisian yang anda jalankan bagi melayari Internet. Tidak kira sama ada anda melayari Internet menerusi komputer, tablet atau telefon bimbit, anda menjalankan browser bagi tujuan itu setiap berkunjung ke Internet.

Tiga contoh browser yang paling popular adalah seperti Internet Explorer, Mozilla Firefox dan Google Chrome yang digambarkan di sebelah.

Semua browser merekodkan aktiviti anda di Internet sebagai fungsi lazim perjalanannya. Satu contoh mudah untuk melihat aktiviti ini ialah dengan membuka bar lokasi browser anda. Bar lokasi seperti yang digambarkan di grafik di bawah memaparkan laman – laman web yang pernah anda kunjungi.

Data yang direkodkan oleh browser sering dikategorikan ke dalam tiga kumpulan iaitu History, Cache dan Cookies.

Buka bar senarai lokasi untuk lihat contoh aktiviti rekod browser anda.
Buka bar senarai lokasi untuk lihat contoh aktiviti rekod browser anda.

Apakah History Browser?

Dalam bidang komputer, ‘web browsing history‘ atau sejarah penjelajahan laman web merupakan senarai laman web yang telah dilayari atau dikunjungi oleh seseorang pengguna berserta dengan maklumat tertentu seperti nama laman web dan masa dikunjungi. Semua maklumat ini disimpan oleh browser Internet anda sebagai suatu piawai atau ‘standard’ untuk tempoh masa tertentu. Browser anda menyimpan ‘History‘ ini untuk menyediakan butang ‘Back‘ atau kembali untuk para pengguna atau senarai ‘History’ atau sejarah untuk memudahkan para pengguna kembali ke laman-laman yang telah dikunjungi tanpa bergantung pada kebolehan pengguna untuk mengingati laman-laman tersebut. Selain browser Internet anda, pihak ketiga atau pihak luaran juga boleh merekod ‘History’ penjelajahan web anda sama anda secara menyeluruh atau hanya sebahagian daripadanya sahaja.

History‘ ini boleh dilihat oleh sesiapa yang mempunyai akses kepada komputer anda. Terdapat banyak maklumat yang ingin dirahsiakan oleh para pengguna Internet. Hal ini merangkumi laman-laman web yang telah dikunjungi dan maklumat yang telah diisikan dalam borang-borang online. Seseorang pengguna mungkin mempunyai pelbagai sebab untuk merahsiakan ‘History’ mereka, sama ada kerana sebab-sebab peribadi, hal-hal keselamatan dan sebagainya. Walau apa pun, merahsiakan, membersihkan atau mengosongkan ‘History’ merupakan suatu hal yang berguna untuk semua golongan pengguna Internet.

Apakah Maklumat Yang Terkandung Dalam ‘History’?

Anda melayari Internet menggunakan perisian Internet browser. Tiga perisian Internet browser yang paling kerap digunakan ialah Internet Explorer, Firefox dan Google Chrome. Semua perisian browser ini menyimpan rekod History penjelajahan Internet anda. Diantara perkara – perkara yang direkodkan ialah:-

Sejarah Pelayaran dan Muat Turun (Browsing and download history): Sejarah pelayaran merupakan senarai laman web yang telah anda kunjungi. Maklumat ini dipaparkan dalam menu ‘History’ dan di bar URL di bahagian atas browser anda. Sejarah muat turun pula merupakan senarai fail yang telah anda muat turun daripada Internet. Senarai ini dipaparkan apabila anda membuka tetingkap ‘Download’.

Sejarah Borang dan Search Bar (Form and Search history): Sejarah borang termasuklah butiran yang telah anda isi dalam borang-borang pada laman web tertentu. Sejarah Search Bar mengandungi item-item yang telah anda taip dalam carian Internet anda.

Login Aktif (Active logins): Apabila anda melayari sebarang laman web yang mewajibkan anda untuk log masuk (contohnya Facebook atau akaun email anda), laman web tersebut dianggap ‘aktif’. Laman web ini akan menyimpan sebuah kod dalam browser anda. Kod ini dipadamkan apabila anda log keluar daripada laman tersebut. Selagi anda tidak log keluar, atau selagi kod ini tidak dipadamkan, kod ini akan disimpan dalam browser Internet anda. Pengguna yang berkebolehan boleh mencuri kod ini dan mendapat akses kepada akaun – akaun peribadi anda di Internet.

Pilihan Khusus Tapak Web (Site specific settings): Hal ini merupakan setting khusus yang telah anda tetapkan untuk tapak web yang anda layari. Contohnya, tahap zoom, ‘Keep Me Logged In’ dan kebenaran-kebenaran lain untuk tapak web.

Apakah Cookies Browser?

Cookie juga dikenali sebagai HTTP cookie, web cookie, atau browser cookie. Cookie sebenarnya merupakan sekeping data kecil yang dihantar oleh tapak web yang anda kunjungi. Data kecil ini disimpan oleh browser Internet anda ketika anda sedang melayari laman web tersebut. Contoh cookie adalah seperti pilihan khusus tapak web atau status log masuk.

Apabila anda melayari tapak web yang sama pada masa hadapan, data yang disimpan oleh cookie tersebut akan diambil semula oleh tapak web tersebut. Kemudian, cookie tersebut akan memaklumkan tapak tersebut tentang aktivti-aktiviti anda kali terakhir anda melayarinya. Sebenarnya, cookies direka untuk menjadi sebuah mekanisme untuk membantu tapak-tapak web meningati keadaan atau aktiviti yang telah anda lakukan pada masa lalu. Hal ini termasuklah, butang-butang yang diklik atau rekod laman-laman web yang dikunjungi pda bulan-bulan atau tahun-tahun yang lepas.

Satu kesan cookie boleh dilihat dengan jelas di tapak web YouTube. Jika anda kerap menggunakan YouTube, anda akan dapati video – video yang disarankan oleh tapak web berkenaan akan mirip video – video yang telah anda tonton sebelum ini. Ianya seolah – olah YouTube “mengenali” siapa anda dan “mengingati” apa yang anda suka. Itulah kesan cookie.

Cookie tidak boleh mengandungi virus dan tidak mampu memasang malware dalam komputer anda. Walau bagaimanapun, cookies selalunya disalahgunakan untuk menyimpan rekod aktiviti seorang pengguna Internet buat jangka masa yang panjang. Hal ini mencabuli hak-hak privasi pengguna Internet.

Apakah Cache Browser?

Cache (disebut “kash”) adalah merupakan fail – fail sementara atau temporaray files laman – laman web yang anda kunjungi. Cache dijana setiap kali anda membuka sesuatu laman web. Kandungan laman web seperti teks, gambar, animasi, program dan video disimpan ke dalam komputer anda sebelum ianya muncul di skrin komputer anda. Koleksi fail – fail inilah yang dikenali sebagai Cache.

Dilain kali jika anda mengunjungi laman web yang sama, browser anda akan memuatkan laman web berkenaan dari fail – fail Cache yang ada dalam komputer anda sendiri – tanpa perlu mendapatkannya dari Internet. Ini menyebabkan laman web berkenaan muncul di skrin anda dengan lebih cepat. Jadi Cache membantu mempercepatkan pelayaran Internet anda.

Di sini anda dapat lihat kelemehan Cache juga. Cache merupakan “kesan jejak” aktiviti anda di Internet. Mereka yang berkebolehan boleh memeriksa kandungan Cache browser anda dan ketahui apa laman dan aktiviti Internet anda. Anda mungkin tidak mahu ini berlaku.

Bagaimana Memadamkan History, Cache dan Cookies Browser?image

Anda menggunakan Internet melalui perisian yang dipanggil browser atau pelayar Internet. Tiga perisian browser yang paling popular ialah Internet Explorer, Mozilla Firefox dan Google Chrome. Ketiga – tiga perisian ini ada cara tersendiri menyimpan rekod penjelajahan Internet anda.

Memadamkan rekod penjelajahan dari satu perisian browser tidak akan menjejaskan rekod – rekod dari perisian browser lain. Sebagai contoh, memadamkan History dari Internet Explorer, tidak memadamkan History dari Firefox ataupun Chrome.

Oleh itu untuk benar – benar memadamkan semua kesan penjelajahan Internet, anda harus memadamkan rekod – rekod dari semua perisian browser yang ada dalam komputer anda. Namun jika anda hanya menggunakan satu jenis perisian browser sahaja, maka anda hanya harus memadamkan rekod – rekod dari browser berkenaan sahaja. Browser – browser yang lain tidak perlu diusik.

Teknik memadamkan rekod penggunaan Internet adalah berbeza bagi setiap jenis browser. Untuk itu kami menurunkan tiga rencana tambahan di bawah bagi membantu anda melakukannya. Sila klik pada pautan yang sesuai:-

  1. Untuk teknik memadamkan history, cache dan cookies dari Internet Explorer, sila klik rencana Padamkan History, Cache dan Cookie dalam Internet Explorer.
  2. Untuk teknik memadamkan history, cache dan cookies dari Mozilla Firefox, sila klik rencana Padamkan History, Cache dan Cookie dalam Firefox.
  3. Untuk teknik memadamkan history, cache dan cookies dari Google Chrome, sila klik rencana Padamkan History, Cache dan Cookie dalam Google Chrome.
error: