Soalan:-
Benarkah jika menggunakan internet di siber kafe (CC) tidak selamat? Adakah mereka (pengendali CC) boleh melihat dan merakam apa yg kita buat? Ada ke software / hardware yang boleh d kawal dari PC lain,utk mengintip? Saya selalu guna email dan kadang – kadang online banking jadi perkara ini amat merisaukan saya.


Jawapan:-
Pengendali siber kafe haruslah memberi perkhidmatan berkuali secara jujur dan bertanggung-jawab. Ini sahajalah cara mereka boleh menarik lebih banyak pelanggan dan mengekalkan pelanggan sedia ada.


Siber kafe beroperasi dalam suasana rangkaian komputer. Berbagai teknologi wujud yang boleh digunakan dalam suasana ini. Ada teknologi yang baik dan ada juga yang kurang baik.


Diantara teknologi kurang baik yang boleh disalah gunakan adalah seperti perisian pengintipan yang membolehkan pengendali siber kafe merakam setiap perkara yang ditaip di papan kunci. Ini termasuklah username dan password bagi berbagai akaun online seperti Facebook, e-mel dan perbankan online.


Selain dari itu siber kafe juga menggunakan perisian kawalan bagi menguruskan perkhidmatan mereka. Perisian ini memberi akses Internet kepada pengguna dan menutup akses apabila had masa yang dibeli itu telah luput.


Secara lazimnya adalah selamat menggunakan komputer di siber kafe. Namun berbekalkan berbagai teknologi yang ada, pengendali siber kafe memang boleh melakukan berbagai perkara yang bercorak jenayah terhadap pelanggan mereka.


Jika anda rasakan akaun online anda telah dikompromi, hentikan melawati siber kafe berkenaan. Anda juga boleh menyoal pengendali siber kafe bagi menyedarkan mereka yang bukan semua pelanggan mereka jahil berkenaan isu keselamatan komputer. 


Sudah tentunya, tidak ada yang lebih baik dari menggunakan  Internet dari komputer peribadi anda sendiri.