Tips Komputer Minggu Ini

Apakah Pembelajaran Jarak Jauh?

Contoh Pembelajaran Jarak Jauh

Contoh Pembelajaran Jarak Jauh

Pendidikan Jarak Jauh adalah satu bidang pendidikan yang bertumpu kepada memberi pendidikan kepada pelajar yang tidak berada di satu lokasi setempat seperti di institusi pengajian tinggi atau IPT. Melalui pembelajaran jarak jauh (PJJ) pelajar dan pengajar berkomunikasi di waktu dan ketika yang berlainan – sesuai dengan masa lapang mereka.

Bagaimana Pembelajaran PJJ dilakukan?

Berbeza dengan pembelajaran secara tradisional, di mana pensyarah memberi kuliah dan pelajar mengambil nota secara bertulis, PJJ menggunakan berbagai teknologi moden dan innovasi canggih dalam mempersembahkan bahan pembelajaran kepada pelajar. Di antara teknologi dan innovasi ini adalah:-

  • Bahan pembelajaran bercetak yang dihantar secara pos. Cara ini lebih dikenali sebagai gaya pos.
  • Bahan pembelajaran yang diakses menggunakan Internet. Cara ini lebih dikenali sebagai pembelajaran dalam talian atau “on-line”.
  • Bahan pembelajaran yang disiarkan melalui siaran radio dan televisyen. Cara ini lebih dikenali dengan gelaran “radio dan tv pendidikan”.
  • Bahan pembelajaran yang dimuatkan ke dalam CD-ROM komputer dan akan diikuti oleh pelajar di komputernya sendiri. Cara ini lebih dikenali sebagai multimedia interaktif.
  • Bahan pembelajaran yang dimuatkan ke dalam alat mudah alih seperti telefon bimbit dan komputer saku (pocket pc). Cara ini dikenali sebagai pembelajaran mudah alih atau mobile learning.

Apakah Kelebihan Pembelajaran Jarak Jauh atau PJJ?

Pendidikan Jarak Jauh atau PJJ mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan pendidikan setempat. Di antara kelebihan PJJ adalah:-

  1. Anda boleh belajar sambil bekerja. Melalui PJJ, anda tidak perlu meninggalkan kerjaya untuk mengikuti pengajian formal. PJJ membenarkan mana – mana individu untuk mengejar cita – citanya pada masa yang sama memenuhi tanggungjawabnya kepada keluarga.
  2. Bagi golongan muda seperti pelajar dan siswa, mereka boleh mengikuti kursus pilihan mereka disamping pengajian formal di sekolah atau IPT. Ini membantu pelajar dan siswa menjimatkan masa dan menggunakan masa mereka secara maksima.
  3. PJJ lebih fleksibel kerana anda sering diberikan lebih banyak masa untuk menghabiskan pembelajaran anda. Dengan cara ini anda boleh merancang pembelajaran mengikut kelapangan masa tanpa menjejaskan rutin harian.
  4. PJJ lebih menjimatkan wang. Kursus – kursus PJJ sering lebih rendah kos jika dibandingkan dengan kursus setempat yang sama.
  5. PJJ tidak meletakkan had usia untuk seseorang mengikuti pembelajaran. Pembelajaran di era globalisasi ini tidak terhenti tatkala kita mencapai sesuatu usia. Kini sesiapa sahaja yang ingin bersaing dalam dunia harus mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. PJJ membenarkan anda melakukannya.

Comments are closed